Galakan ibu susukan bayi melalui internet – Bhg 2

“Tujuan kumpulan MyMomsBest ditubuhkan adalah untuk menggalakkan penyusuan ibu dan juga memberi panduan dan tunjuk ajar kepada ibu lain mengenai hal penjagaan yang betul terhadap bayi dan anak. Ada sesetengah ibu muda tidak begitu arif atau faham cara yang betul memerah susu ibu malah memastikan bayi mereka selesa ketika menyusu. Jadi memandangkan ahli MyMomsBest sangat dedikasi dan komited menyusukan bayi dengan susu sendiri, kami berasa terpanggil untuk berkongsi pengetahuan dengan ibu bapa lain. Lagipun susu ibu adalah yang terbaik.

“MyMomsBest mempunyai beberapa orang doktor seperti pakar kanak-kanak, pakar kaum ibu (ob-gyn) dan pakar penyusuan ibu yang bermurah hati memberi tunjuk ajar secara sukarela kepada kami,” katanya.

Beliau berkata, hingga kini MyMomsBest bergerak sebagai kumpulan yang mandiri kerana ia tidak menerima sebarang sumbangan atau bantuan kewangan daripada syarikat korporat terutamanya mana-mana syarikat yang menghasilkan susu formula dan makanan bayi. Selain menggalakkan penyusuan ibu, ahli kumpulan MyMomsBest cuba memberi galakan dan motivasi kepada ibu yang baru bersalin dan ingin menyusukan bayi.

Lebih membanggakan, katanya, ada ahli yang memelihara anak angkat dan menyusukan sendiri bayi itu, selain menyusukan bayi kembar sendiri, menderma susu ibu untuk bayi yang sakit, tidak cukup bulan apabila ibu bayi itu sendiri belum mempunyai susu atau menyusu bayi dengan susu perahan apabila si ibu terpaksa berada jauh daripada anaknya kerana tanggungjawab pekerjaan.

Chan berkata, MyMomsBest juga sangat prihatin terhadap kehendak dan keperluan ibu lain. Kumpulan sokongan itu pernah menyumbangkan sebuah pam perahan susu (breastpump) yang bernilai RM3,000 kepada Unit Penjagaan Rapi Paediatrik (PICU) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada November 2003.

“Kami sedar bahawa susu ibu adalah elemen yang sangat penting untuk kelangsungan bayi yang sakit dan pramatang. Oleh itu kami tidak teragak-agak untuk menolong mana-mana ibu dan bayi setakat yang kami terdaya,” katanya.

Selain itu, baru-baru ini sempena sambutan Hari Ibu yang jatuh pada 9 Mei, kumpulan sokongan berkenaan mengadakan program Belaian Ibu untuk Ibu, iaitu kerja amal mengumpul hadiah yang disumbangkan oleh ahli kumpulan itu sendiri yang kemudiannya diagihkan kepada kaum ibu yang menjaga anak yang sakit di PPUM.

Comments are Closed