My Mom's Best
Pregnancy, Parenting & Breastfeeding website with a heart
Home

Jun 27

News from Berita Harian

News archived from Berita Harian dd 16 June 2004

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Keluarga/20040616082554/Article/

Galakan ibu susukan bayi melalui internet
Oleh Shaidah Shafie

KEPENTINGAN dan khasiat susu ibu tidak dapat dinafikan. Selain mengeratkan perhubungan ibu dan anak, ia mengandungi beberapa jenis zat antaranya kaya protein, laktosa, zat besi, kalsium, fosfat serta enzim khusus menghadam lemak dan sumber air mencukupi bagi bayi.

Menyedari kepentingan susu ibu, ada ibu berasa bertanggungjawab mempergiatkan kempen menyusukan bayi. Malah, bermula daripada kesedaran itu juga menjadi punca kepada penubuhan Kumpulan Sokongan Ibu-ibu Yang Menyusukan Anak dan kini dikenali sebagai MyMomsBest.

MyMomsBest ditubuhkan pada 10 Oktober 2003 dan berhubungan giat sesama ahli melalui internet. Individu yang bertanggungjawab membangunkan laman web kumpulan ini ialah Lilian Chan dan Phang SS.

Chan berkata, MyMomsBest mempunyai lebih daripada 200 ahli, iaitu pelbagai kaum, agama dan latar belakang kerjaya. Ringkasnya, kumpulan sokongan ini menekankan sifat muhibah di kalangan ahlinya.

Chan, ibu kepada lima cahaya mata lelaki dan berasal dari Pulau Pinang turut mengendalikan laman web (http://www.geocities.com/malaysianmomshare) untuk ibu-bapa yang kehilangan anak (meninggal dunia) dan anak yang mengalami sakit kritikal. Ini kerana beliau sendiri berpengalaman menjaga anaknya, Vincent — yang dilahirkan tidak cukup bulan dan menyusukan bayi itu.

Justeru, bersandarkan pada pengalaman dan pengetahuan mengenai kepentingan susu ibu, MyMomsBest adalah kesungguhan Chan untuk mengajak ibu menangani permasalahan yang mungkin dihadapi oleh banyak lagi ibu lain.